HAPPY BORNDAY TO ME
Hari
ini adalah ulangtahun kelahiran saya yang ke-44. Ini bermaksud, saya sudah
hidup di dunia ini selama 44 tahun. Dan yang paling penting, sudah 44 tahun
Allah pinjamkan roh dan nafas untuk saya menikmati hidup yang penuh
dengan keindahan ini. Terima kasih Ya Allah atas nikmat yang telah, yang sedang
dan yang akan kau limpahkan kepada insan yang sangat bertuah ini. Sungguh
tidak mampu dihitung.
Orang
kata, umur hanya angka, kan? Itu saya tidak nafikan. Tapi perasaan, fikiran dan
tindakan adalah pilihan dan dalam kawalan kita. Jadi, mulai hari ini saya
memilih untuk reset ruhani dan kembali kepada diri seperti bayi yang baru
dilahirkan. Bayi yang memiliki hati yang suci, tiada langsung prasangka buruk,
jauh sekali menghakimi orang lain. Walaupun ditegur atau dimarahi, bayi
menangis sekejap dan kemudian bermain semula seperti biasa. Tiada dendam yang
tersimpan dan tiada benci yang terkumpul. Sentiasa fokus menikmati kehidupan
sepenuhnya pada waktu sekarang tanpa menyesali masa lampau dan risau tentang
masa depan. Sentiasa kagum kepada sekecil-kecil perkara, dengan air yang
mengalir, daun terbang yang ditiup angin semuanya sangat menakjubkan dan sentiasa
membuka diri untuk belajar perkara-perkara baru.
Melangkah masuk ke usia 44, ada rasa rindu yang mendalam, ada semangat kebangkitan yang
luarbiasa. Sebelum ini, tumpuan pencapaian lebih kepada kerjaya, perniagaan,
status dan material. Tapi sekarang tumpuan lebih kepada pencapaian dalaman. Apa
yang saya belajar hari ini? Mampu tak saya mengawal emosi saya hari ini? Apa
kesalahan yang dibuat hari ini dan apa yang perlu diperbaiki? Saya lebih
berusaha untuk memahami erti ketenangan yang sebenar dan kekal tenang dalam apa
jua keadaan sama ada ketika mendapat apa yang diingini dan ketika berhadapan
dengan apa yang tidak disukai.
Selamat
ulang tahun kelahiran yang ke-44 buat diri saya,
Terima
kasih kerana telah bertahan, berjuang, dan melangkah sejauh ini menghadapi
setiap ujian suka dan duka kehidupan. Terlalu banyak yang telah dilalui. Pernah
rasa putus asa, pernah rasa tiada harapan tapi jika diimbau kembali, dalam
setiap cabaran pasti ada kemudahan yang tidak disangka-sangka. Terima kasih Ya
Allah tidak pernah meninggalkan saya sendirian.
Mulai
hari ini, saya lepaskan segala beban emosi, penyesalan masa lalu dan kerisauan
masa depan yang mengganggu ketenangan. Saya maafkan semua orang yang pernah
menyakiti dan melukai. Paling utama, saya maafkan diri sendiri atas segala
kekhilafan dan kesilapan lalu. Cukup-cukup lah menyiksa dan membebankan diri
sendiri.
Di
usia 44 tahun ini, saya berniat untuk sentiasa kembali kepada fitrah. Ingat
pada janji kepada Maha Pencipta ketika masih dalam kandungan mama. Kembali
memiliki hati yang bersih, fikiran yang lapang dan jiwa yang tenang seperti
bayi yang baru dilahirkan. Saya berjanji untuk bergantung dan menyerahkan
sepenuhnya kepada Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengatur Alam, setelah
berusaha bersungguh-sungguh. Saya berjanji untuk terus belajar dari setiap
peristiwa yang dihadirkan.
Di
babak kehidupan yang baru ini, saya akan hidup dengan penuh kasih sayang dan
penuh kesedaran bahawa Allah sentiasa bersama, Allah tidak pernah jauh walaupun
sesaat, Allah sentiasa dekat malah lebih dekat lagi dari urat leher nadi saya.
Jadi apa lagi yang perlu ditakuti bila saya ada Allah yang Maha Besar.



Happy birthday to my dearest beloved. Alhamdulillah. Sesungguhnya kita semua adalah milikNya. Dan antara nikmat yang agung adalah apabila kita yakin kita akan bersama-sama kembali kepadaNya. InsyaAllah ameen
ReplyDelete