Pin oh Pin

Hari ini macam biasa saya dan suami hantar Abang Rizqi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan IGCSE, kali ini kertas Biology. Kertas ini berlangsung selama 1 jam bermula jam 9 hingga 10 pagi. Lepas habis exam saja, kami ambil abang dan terus ke cafe untuk brunch. 

Sampai saja di rumah, sebelum tanggalkan tudung saya cabut pin tudung satu persatu terlebih dahulu. Masa cabut pin, saya teringat perbualan saya dan Abang pada malam saya sampai ke rumah selepas hantar Kakak belajar di UK. Perbualan berlaku di ruang tamu rumah. Mungkin kerana penat dan beremosi pada waktu yang sama, saya ambil keputusan untuk tanggalkan saja tudung di ruang tamu rumah. 

Perbualan lebih kurang begini……..

Abang: Mama cuba tengok ni. Senang kan nak cucuk 1 pin ke kain? 

Mama: Betul

Abang: Sekarang ambil 3 pin dan cuba cucuk ketiga-tiga pin ke kain pada waktu yang sama. Susah kan?

Mama: Aah lah, betul-betul (sambil mencuba beberapa kali)

Ya Allah, dari perbualan yang ringkas saya dapat satu pelajaran yang betul-betul sesuai dengan situasi emosi saya pada ketika itu. 

Pin melambangkan emosi atau perasaan. Tenaga yang digunakan untuk mencucuk pin melambangkan tekanan atau daya yang diperlukan untuk mengeluarkan saya dari emosi. Jumlah pin menggambarkan saiz emosi dan of course, 1 pin menggambarkan saiz emosi yang kecil berbanding 3 pin.  

Pada ketika itu, saya membiarkan diri terbeban dengan pelbagai campuran emosi. Ada rasa sedih yang melampau, perasaan rumah yang kurang dengan kehadiran kakak, rasa takut yang melampau membayangkan kakak yang keseorangan dan rasa curiga dengan Keputusan hidup yang kakak akan ambil. Semua emosi negatif dikumpulkan pada waktu yang sama. Sesak nafas dibuatnya, dada terasa sangat ketat dan boleh meletup pada bila-bila masa.

Tiba-tiba Allah detikkan hati abang untuk mulakan perbualan tentang pin. Perbualan yang sangat sederhana tapi memberikan idea dan makna yang cukup mendalam iaitu mengecilkan saiz emosi. Bukan melarikan diri emosi, tapi menerima kehadiran dan merasakan emosi-emosi yang hadir tanpa membiarkan emosi mengawal fikiran dan tindakan.

Tuhan lebih mengetahui, jika saya membiarkan emosi itu membesar dan bercabang, saya mungkin akan mengalami tekanan perasaan, depression dan memerlukan tenaga yang sangat besar untuk proses melepaskan. Akhirnya menyebabkan kepenatan yang melampau dan berputus asa.

Jika keadaan emosi saya dikaitkan dengan sifat hakiki pin iaitu memegang kain buat seketika sebelum dicantumkan atau dirapikan, fasa rindu ini ibarat pin yang sedang memegang emosi, sementara saya dan kakak menyesuaikan diri dengan fasa hidup yang baru dan di luar kebiasaan.

Apabila saiz emosi dikecilkan, fikiran kurang berserabut membuatkan proses penerimaan dan proses melepaskan menjadi jauh lebih mudah. Menerima bahawa fasa ini penting untuk membolehkan kakak berkembang menjadi seorang yang lebih matang dan berdikari. Kakak juga akan mengalami dan melalui sendiri fasa menyakitkan, fasa kejatuhan dan fasa kegagalan untuk kakak belajar sendiri cara menguruskan emosi dengan baik sebagai persediaan sebelum melangkah ke fasa  yang lebih tinggi dan jauh lebih baik.

 


Comments

Popular Posts