Memiliki itu Menyiksa

Hari ini masuk hari 15 saya berpisah dengan anak sulung yang juga only daugther, Rizwani. Dari kecil sehingga berumur 19 tahun, kakak duduk dengan kami. Tidak pernah tinggal di mana-mana asrama sekolah. Bila keluar dengan kawan, biasanya sekejap sangat dan nak balik rumah cepat-cepat. Masa A-Level, habis jer kelas, kakak cepat-cepat nak balik rumah kecuali ada keperluan untuk ke library atau group discussion for group assignment.

Sama pula dengan situasi saya dulu. Saya pernah dapat offer untuk masuk sekolah berasrama penuh, tapi saya tolak dan masuk ke sekolah harian biasa yang lebih dekat dengan rumah. Tapi bila dapat offer untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia, saya terima dan masa tu baru lah episod penghijrahan saya bermula dari Borneo ke Semenanjung Malaysia.

Kiranya, ini kali pertama kami betul-betul berpisah jauh. Dari tak pernah berpisah, tiba-tiba berada di dua benua yang berbeza. Kami di Benua Asia dan kakak nun jauh di Benua Eropah. Kakak kini sedang melanjutkan pelajaran dan mencari pengalaman baru di University of Reading dalam jurusan BSc Finance.

Saya ni sejenis yang susah menitiskan air mata. Saya fikir saya ok bila tiba masa berpisah dengan kakak. Rupa-rupanya saya tewas juga. Sudah lama rasanya tak mengalirkan air mata yang banyak sampai mata jadi bengkak, muka jadi sembam.

Kali ini saya rasa saya diuji oleh Allah dalam subjek “Perasaan Memiliki”. Perasaan di mana manusia merasakan anak, pasangan, harta benda, emas dan duit semuanya aku yang punya. Perlahan-lahan melahirkan rasa keakuan yang tinggi, merasakan semua yang dimiliki berada dalam kawalan diri. Sehingga lupa kepada Maha Pencipta yang mengawal dan menguasai sekalian alam. Sehingga lupa yang kita takkan mampu memiliki semua yang kita ada ketika ini, jika bukan dengan izinnya.

1001 persoalan muncul dalam pikiran saya, sehingga jiwa jadi resah, gelisah dan tidak tenang. Saya mula fikir, bagaimana dengan keselamatan kakak di sana? Bolehkah kakak sesuaikan diri dengan keadaan di sana? Ada orang nak berkawan dengan kakak? Kakak makan apa? 

Alhamdulillah, setelah membiarkan diri jeda beberapa minggu, saya mula ambil pelajaran dari ujian kali ini. Allah nak ajar saya, tiada satu pun dalam dunia ini dimiliki oleh kita. Sama ada anak-anak, rumah, kereta. harta benda, ibu bapa, adik beradik mahupun pasangan. Sebagai manusia, kita cuma perlu menjalankan tanggungjawab dan menjaga amanah sehabis baik. Didik anak dengan pelajaran yang baik, menjaga hubungan dengan pasangan dan orang sekeliling sehabis baik, menggunakan pinjaman harta benda untuk melakukan perkara-perkara kebaikan. Dan setelah berusaha sehabis baik, selebihnya kita serahkan semula kepada Maha Pencipta dan kepada Yang Maha Mengetahui.

Saya sedar, bila berjauhan dari kakak, tindakan saya sangat terbatas. Banyak perkara sudah tidak lagi berada dalam kawalan saya. Saya tiada pilihan melainkan menyerahkan semua kerisauan saya kepada Yang Maha Luas, Yang Maha Mengawal, yang tidak terbatas, tidak pernah tidur dan tidak pernah mengantuk dan terus-menerus menguruskan alam. 

Saya sedar bahawa kakak bukannya memilih untuk berjauhan tapi memilih untuk keluar dari comfort zone beliau. Saya juga patut sedar bahawa kakak seorang yang sangat berani mengambil langkah yang walaupun kurang digemari, tapi ini adalah langkah yang perlu diambil supaya kakak terus membesar menjadi seorang yang lebih bijasana dan matang. Melakukan sesuatu di luar kebiasaan, walaupun ada sedikit cemas dan takut, hanya dengan cara ini, kakak boleh belajar cara berhadapan dengan kegagalan, cara mengawal emosi ketika ketakutan dan melalui waktu-waktu sukar. Dengan cara ini juga, kakak boleh mencungkil potensi diri yang selama ini tidak disedari kewujudannya.  

Sungguh terbukti apa yang Allah sebut di Surah Al-Baqarah Ayat 216:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu; dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." 

Sungguh Allah mahu saya belajar "Menghargai" bukan "Memiliki". Allah mahu saya "Menyedari" bukan "Mengawal". Allah mahu saya belajar "Menyakini" bukan "Mencurigai". 

 




 

Comments

Popular Posts